Sabtu, 11 Mei 2019

Amri buat TRW duka


MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
Selayang: Jaringan tunggal Mohd Amri Yahyah menjadi pemisah buat Selangor apabila menang tipis 1-0 menewaskan Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Red Giants memperbaiki kedudukan liga apabila naik satu anak tangga di posisi keempat dengan 27 mata.

Dalam perlawanan itu, pasukan tuan rumah terlebih dulu melakukan asakan menerusi percubaan Amri tetapi sepakannya tepat menuju ke dakapan penjaga gol Kelantan Mohd Ramdhan Hamid.

Kelantan yang mengejutkan Kedah 3-1 dalam aksi Piala Malaysia, 18 Julai lalu, berpeluang menguji ketangkasan Khairul Azhan Khalid menerusi sepakan percuma Abou Bakr Al Mel pada minit ke-11 namun mudah dihalang penjaga gol tuan rumah itu.

Gol awal yang dicari Selangor akhirnya menjelma apabila tandukan Amri membolosi gawang lawan pada minit ke-19 hasil hantaran lintang tonggak tengah S Veenod.

The Red Warriors (TRW) yang tersentak dengan jaringan itu mula mengatur langkah dan percubaan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-27 hanya melencong ke kiri tiang gol.

Enam minit kemudian, rembatan deras Khairul Izuan Rosli dari luar kotak penalti hampir menewaskan Khairul Azhan, namun tindakan penjaga gol kebangsaan itu melayangkan badan ke sebelah kanan nyata menghampakan penyokong pelawat.

Bersambung babak kedua, tidak banyak perubahan berlaku apabila kedua-dua pengendali P Maniam dan Zahasmi Ismail masih menaruh kepercayaan dengan kesebelasan utama masing-masing.

Serangan bertali arus membolehkan Kelantan hampir memperoleh gol penyamaan melalui tandukan Mamadou Danso pada minit ke-60 selepas menyambut sepakan percuma Indra Putra tetapi ditepis Khairul Azhan.

Zahasmi melakukan pertukaran pertama pada minit ke-64 dengan mengeluarkan Alessandro Celin yang dilihat sedikit keletihan dan memasukkan Nik Azli Nik Alias untuk menambah sengat jentera depan.

Pasukan pelawat nyata menguasai aksi menerusi deretan percubaan ke arah kubu Red Giants, namun segala usaha itu tetap gagal untuk menewaskan Khairul Azhan yang beraksi cemerlang sepanjang 45 minit babak kedua.

Akhirnya, gol Amri itu membolehkan Selangor keluar sebagai pemenang di tempat sendiri.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 5:32 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan