Rabu, 1 Mei 2019

Tak boleh ulangi kesilapan – Amri

21 November 2016 12:26 AM
 MOHD. AMRI YAHYAH (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan Malaysia d
MOHD. AMRI YAHYAH (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan Malaysia dalam aksi Piala AFF di Yangon, semalam.
YANGON 20 Nov. – Wira kemena­ngan Harimau Malaysia, Mohd. Amri Yahyah percaya, insiden gol pelik yang dialami dalam pertemuan menentang Kemboja hari ini menjadi ­iktibar buat dia dan rakan-rakan sepasukan.
Kapten Harimau Malaysia itu, yang meledak dua gol untuk membantu pasukan negara menang 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF berkata, dia lega kerana perlawanan berakhir dengan kemenangan milik skuad negara biarpun ia sebenarnya boleh menjadi sebaliknya.
“Syukur kerana kami berjaya mencatat kemenangan hari ini, namun saya fikir kami perlu memperbaiki permainan dan tidak mengulangi kesilapan se­perti itu lagi pada aksi seterusnya.
“Kekeliruan pengadil dan penjaga garisan menyebabkan kami berhenti bermain seketika kerana penjaga garisan sudah mengangkat bendera.
“Kami cuba untuk membantah jaringan tersebut namun pengadil perlawanan memberitahu kedudukan pemain Kemboja tidak ofsaid kerana bola terkena pemain sendiri (Shahrul Saad).
“Kita tidak boleh melakukan kesilapan seperti itu lagi dan apabila kami memperoleh gol kami juga dibolosi,” katanya kepada pemberita di sini selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Amri turut mendedikasi kemenangan tersebut kepada semua peminat bola sepak tempatan.
“Kejayaan ini merupakan hasil doa keluarga, rakan-rakan dan pasukan yang banyak membantu serta semua peminat bola sepak Malaysia. Saya harap kita dapat melangkah ke peringkat separuh akhir,” katanya lagi.
Kata Amri, Chan Vathanka bijak mengambil peluang dalam ­situasi yang menggelirukan ketika meletakkan pasukannya di depan seawal minit ketujuh permainan.
Malaysia dijadual menentang pasukan pilihan dan juara 2008, Vietnam dalam aksi kedua, Rabu ini sebelum bertemu tuan rumah, Myanmar pada Sabtu.
Kata Amri lagi, walaupun tidak memulakan permainan de­ngan aksi yang diharapkan, namun kejayaan mengutip tiga mata penuh cukup melegakan kerana menganggap dua perlawanan berikutnya jauh lebih sukar. – utusan

SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tak-boleh-ulangi-kesilapan-8211-amri-1.410025#sthash.VhIxTQHw.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan