ARKIB : 29/12/2004
JAKARTA - Liew Kit Kong membawa skuad negara menghampiri perlawanan akhir bola sepak Piala Tiger buat kali kedua selepas menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia bangkit menumpaskan Indonesia 2-1 dalam pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Gelora Senayan di sini, malam tadi.
Malaysia yang setakat ini berbangga selaku naib juara pada 1996, menyaksikan Indonesia yang pada mulanya begitu garang tetapi dikecewakan pada akhirnya di hadapan 80,000 penyokong sendiri yang kemudian bertindak liar dengan membaling objek ke dalam padang.
Selepas menunjukkan kehebatan membuat tandukan untuk gol penyamaan pada pertengahan usia babak pertama, Kit Kong kemudian membuktikan dia juga hebat membuat sepakan untuk gol kedua pada awal separuh masa kedua.
Kelicikan pemain Perak itu segera menenggelamkan kehebatan gandingan pemain barisan depan Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto dan Elie Aiboy yang pada awalnya begitu mencemaskan kem skuad negara dan kira-kira 500 penyokongnya.
Stadium Gelora Senayan sebelum itu sunyi seminit sebelum permainan bermula apabila kedua-dua pasukan dan penonton bertafakur selama seminit bagi menunjukkan tanda simpati kepada mangsa-mangsa ombak tsunami tetapi segera rancak apabila wisel kali pertama dibunyikan.
Gandingan penyerang supersub Kurniawan dengan pemain pertahanan, Elie yang diletakkan sebagai pemain sayap kanan malam tadi begitu menjadi sehingga membuatkan bahagian pertahanan skuad negara bekerja keras.
Kurniawan, yang pernah berhijrah ke kelab Serie A, Sampdoria dan kelab FC Lucern di Switzerland, menjadi penyerang utama apabila pasukan Peter Withe bermain tanpa Ilham Jaya Kesuma dan Boas Salossa, kedua-duanya digantung satu perlawanan.
Kehilangan dua penyerang utama itu bagaimanapun tidak menjejaskan rentak permainan pasukan tuan rumah - sekurang-kurangnya untuk 20 minit pertama.
Indonesia menguji gawang Malaysia seawal minit pertama hanya untuk menyaksikan penjaga gol, Mohamad Syamsuri Mustafa menolak kemas sepakan sudut ke dalam oleh Firman Utina.
Namun, percaturan mereka untuk mendapatkan gol awal berhasil pada minit keenam apabila berjaya mematahkan serangan anak-anak buah jurulatih dari Hungary, Bertalan Bicskei.
Elie yang kemudian mengejar bola berhampiran garisan belakang gagal disekat oleh Kaironnisam Shahabuddin yang terjatuh untuk memberi ruang selesa kepada Elie yang segera mencari Kurniawan yang tidak dikawal dengan sepakan lintangnya untuk ditanduk masuk gol keempatnya pada kejohanan ini tanpa dicabar.
Sembilan minit kemudian, Syamsuri terpaksa pula melayangkan badan untuk menepis tandukan Elie yang menerima umpanan cantik pemain pertahanan kanan, Ortisan Salossa.
Elie sekali lagi bertindak cemerlang apabila hantarannya tepat kepada Kurniawan yang lepas daripada pandangan pertahanan negara, tetapi sepakan penyerang itu terkena palang pada minit ke-17.
Keghairahan pemain-pemain Indonesia mati secara tiba-tiba dengan stadium sunyi apabila sayap kanan, Kit Kong menanduk cantik ke penjuru kanan gawang hasil umpanan pemain tengah, Shukor Adan pada minit ke-28.
Indonesia, walaupun menguji Syamsuri pada minit ke-32 menerusi permainan 1-2, Elie dan Kurniawan tetapi nyata telah terjejas dengan gol ketiga Kit Kong pada kejohanan ini.
Malah stadium kembali senyap hanya dua minit selepas rehat apabila Kit Kong sekali lagi menemui sasaran setelah menerima hantaran jauh pemain tengah Pahang, Fadzli Saari.
Pasukan tuan rumah cuba bangkit tetapi beberapa percubaan mereka gagal melepasi ketangkasan Syamsuri dan juga Norhafiz Zamani Misbah yang bekerja keras menghalang tetapi barisan pemain Bicskei tetap mengekalkan tumpuan terhadap permainan.
Selepas menyaksikan Syamsuri menepis bola ke belakang, Norhafiz kemudiannya menyelamatkan gawang Malaysia pada minit ke-60 apabila menanduk keluar bola berhampiran garisan gol yang disepak oleh ketua pasukan Indonesia, Ponaryo Astaman untuk memastikan Indonesia tertekan pada perlawanan kedua di Bukit Jalil pada 1 Januari kelak. - Utusan
MALAYSIA: Mohamad Syamsuri Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah, Wan Rohaimi Ismail, Mohd. Fadzli Saari, Mohd. Amri Yahyah (S. Saravanan), Liew Kit Kong, Muhammad Shukor Adan, K. Nantha Kumar, Muhammad Kaironisam Shahabuddin, Rosdi Talib, Khalid Jamlus (Mohd. Nor Ismail).
INDONESIA: Hendro Kartiko, Ismed Sofyan, Ortizan Salossa, Charis Yulianto, Muhammad Mauli Lessy, Elie Aiboy, Kurniawan Dwi Yulianto, Ponaryo Astaman, Firman Utina, Syamsul Bachri, Firmansyah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan