Oleh AMRAN MULUP dan JOHARI SHAWAL
KETUA pasukan kebangsaan, Rosdi Talib (kiri) dicabar pemain Timor Leste, Antonio Ximes dalam saingan Piala Tiger di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. Malaysia menang 5-0. - Gambar AFP.
SEPERTI yang diramalkan skuad bola sepak kebangsaan tidak menghadapi masalah untuk mengukir kemenangan pertama apabila membelasah pendatang baru, Timor Leste 5-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Kejohanan Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Kemenangan berpesta gol sememangnya sudah diduga dengan penguasaan penuh barisan pemain kebangsaan menguasai pentas saingan sejak dari babak awal bermula.
Kemenangan yang dicari ini bakal menjadi penyuntik semangat buat anak didik jurulatih dari Hungary, Bertalan Bicskei dalam usaha untuk memburu salah satu tempat ke separuh akhir apabila lagi berdepan dengan kekentalan Myanmar dan Thailand selepas ini.
Begitupun pujian seharusnya diberikan kepada Timor Leste yang membuat penampilan pertama mereka di peringkat antarabangsa dengan aksi menarik.
Bagaimanapun, Timor Leste pincang apabila terpaksa bermain dengan sepuluh orang selepas pemainnya, Claudino Mesquita dilayangkan kad merah oleh pengadil, Lazar Subash Anthony dari Singapura kerana mengkasari Amri pada minit ke-73.
Dua gol peribadi menerusi penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-47 dan minit ke-83 sebelum disusuli oleh jaringan Liew Kit Kong (m-28), Mohd. Fadzli Saari (m-66) dan Muhammad Shukor Adan (m-85) sudah cukup buat skuad Malaysia mengutip tiga mata berharga.
Seawal minit ketiga Malaysia menguji benteng pertahanan Timor Leste yang dikemudi pemain kelab Divisyen Dua Portugal, Alfredo Manuel namun sepakan kencang penyerang Perak, Muhammad Khalid Jamlus meliar keluar.
Dua minit selepas itu Khalid hampa lagi untuk memecah kebuntuan jaringan gol hantaran jauh ketua pasukan Rosdi Talib di dadanya namun dia gagal melakukan sepakan setelah diselamatkan benteng pertahanan Timor Leste.
Serangan bertali arus berterusan ketika pergerakan lawan tidak teratur dengan asakan pemain Malaysia giliran Amri Yahyah pula hampa sepakannya dari jarak 25 meter melewati palang gol pada minit ke-11.
Begitupun Timor Leste hampir-hampir meledakkan jaringan awal menerusi serangan mengejut dengan perancang utama, Emilio Ribeiro Da Silva yang bijak melorongkan bola namun penyerangnya, Antonio Ximenes melepaskan rembatan liar tidak menepati sasaran sekalipun berdepan dengan penjaga gol Malaysia, Mohamad Syamsuri Mustafa pada minit ke-14.
Gol yang dicari akhirnya menyusul pada minit ke-28 hasil sepakan jauh pemain tengah, Chan Wing Hoong tepat ke arah Liew Kit Kong yang melonjakkan diri untuk menanduk kencang menggegar jaring menewaskan Leong.
Dua minit babak kedua berlangsung gol kedua skuad kebangsaan menyusul menerusi gerakan solo Muhammad Shukor Adan melintangkan bola mudah ditolak masuk oleh Amri.
Pada minit ke-66 pula, giliran Mohd. Fadzli Saari memahatkan nama sebagai penjaring gol ketiga skuad kebangsaan apabila dia mudah menolak masuk hantaran Norhafiz Misbah.
Pada minit ke-76, Timor Leste sepatutnya merapatkan jurang peluang terbaik milik Ximenes yang mengelecek Mohamad Syamsuri tetapi menyepak mengenai tiang gol ketika pintu gol Malaysia sudah terbuka.
Skuad kebangsaan menambah gol keempat pada minit ke-83 menerusi jaringan Amri yang merupakan gol peribadi kedua pemain Selangor itu
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4g6VJxOep
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan