Ahad, 30 April 2017

Malaysia benam Singapura

ARKIB : 02/11/2004
DUA jaringan menerusi Mohd. Khalid Jamlus dan Mohd. Amri Yahya pada babak kedua memastikan kemenangan bergaya Malaysia menewaskan Singapura 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam.
Kemenangan ini sudah tentunya amat bermakna buat jurulatih Bertalan Bicskei dalam usahanya membentuk skuad terbaik bagi menggalas cabaran di Piala Tiger Disember ini.
Malah lebih penting kemenangan ini adalah bekalan terbaik skuad kebangsaan dalam usaha untuk memburu kemenangan pertama apabila bertemu dengan Kuwait dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia Kumpulan 4 Zon Asia, 17 November ini di tempat lawan.
Ketika Malaysia lebih awal sudah tersingkir, pertemuan dengan Kuwait nanti lebih untuk menebus maruah yang sudah tercalar sejak dari pusingan awal lagi.
Mengulas mengenai kemenangan tersebut Bicskei berkata, Khalid mempamerkan aksi terbaik buat pertama kali dalam skuad kebangsaan manakala Amri pula diakui pemain yang bijak menyempurnakan peluang untuk mencipta jaringan.
``Apa yang penting pemain begitu bersemangat kental apabila mereka bangkit semula walaupun pada satu ketika ketinggalan dan inilah kualiti pemain yang saya kehendaki,'' ujar Bicskei.
Skuad kebangsaan ketinggalan 0-1 apabila Singapura tangkas menyambar peluang pada minit ke-21 dengan pemain Ghana, Itimi Dickson meledakkan jaringan dari jarak 20 meter yang mendapat sorakan kira-kira 4,000 penyokong tuan rumah.
Mengulas lanjut jurulatih dari Hungary berkata, jika pemain dapat mengekalkan dengan corak permainan dan semangat juang yang tinggi seperti ini, peluang skuad kebangsaan untuk melakukan kejutan di Piala Tiger adalah cerah.
Selepas Malaysia dikejutkan dengan gol awal tuan rumah, Bicskei membuat beberapa pertukaran pada babak kedua dengan memasukkan Khalid, K. Nanthakumar dan Eddy Helmi Manan untuk memperkukuhkan jentera serangan.
Kemasukan pemain tersebut menghidupkan corak serangan yang nampak lebih bertenaga dan gol penyamaan dihasilkan pada minit ke-68 apabila bola hantaran Indra Putra Mahayuddin tepat ke arah Khalid.
Penyerang Perak itu mendada bola tersebut sebelum melakukan sepakan volley menewaskan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri 1-1, Amri tampil mencuri peluang untuk menolak masuk gol kemenangan Malaysia pada masa kecederaan.
MALAYSIA
Mohd Syamsuri Mustafa, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Wan Rohaimi Ismail, (Ahmad Tharmini Saiban), Mohd Ivan Yussof (Eddy Helmi Manan), Liew Kit Kong (K. Nanthakumar), Mohd Shukor Adan (Mohd Amri Yahyah), Chow Chee Weng (Mohd Khalid Jamlus), V. Saravanan (Chan Wing Hoong), Indra Putra Mahayuddin.
Singapura
Hassan Sunny, Noh Rahman (Jaslee Hatta), Aide Iskandar (Faizal Hamid), Baihakki Khaizan, Daniel Bennett, Muhamad Ridhuan (Khairul Amri), Goh Tat Chuan, Shahril Ishak, Itimi Dickson, Masrezwan Masturi, Noh Alam Shah.

Sabtu, 29 April 2017

Jumpa Singapura dan Kuwait - Bicskei cuba muka baru

ARKIB : 29/10/2004

JURULATIH kebangsaan, Bertalan Miklos Bicskei menunjukkan jadual perlawanan bola sepak sepanjang tahun 2005 pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. Pada kali ini, jurulatih terbabit menyenaraikan lebih ramai muka baru ekoran kecederaan yang melanda pemain-pemain utama. - Gambar ASWAD YAHYA.


BUAT kali kedua, jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan Miklos Bicskei tampil melakar posisi dan pemain yang berwatak baru di atas padang sepanjang tempoh hampir empat bulan mengambil alih jawatan itu daripada Allan Harris.
Pada sidang akhbar mengumumkan barisan pemain negara bagi perlawanan persahabatan menentang Singapura (1 November) di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, beliau mengetengahkan gandingan berbeza dalam pemilihan pemain kali ini berikutan ramai pemain pilihan utamanya cedera.
Sambil tidak menolak kemungkinan bahawa barisan pemain yang sama ini juga akan diturunkan dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait yang sudah tidak membawa apa-apa makna pada 17 November ini, Bicskei menjelaskan ia adalah sebahagian daripada percaturannya membentuk pasukan kebangsaan yang lebih mantap tahun depan.
Daripada 23 pemain yang diumumkan Bicskei semalam, lapan daripadanya adalah pemain baru.
Mereka ialah Ahmad Tharmini Saiban, Mohd. Azizan Baba, Mohd. Ivan Mohd. Yusof, Mohd. Nor Ismail, Norfazly Alias, Mohd. Suffian Ab Rahman, Azizon Abdul Kadir dan Mat Saiful Mohamad,
``Saya juga akan turut mengubah beberapa posisi pemain untuk menghadapi dua perlawanan antarabangsa ini.
``Bek tengah, Norhafiz Zamani Misbah akan diuji untuk bermain di bahagian tengah bergandingan dengan K. Nanthakumar.
``Manakala ketiadaan Lim Chan Yew yang cedera akan diisi Wong Sai Kong sebagai bek tengah,'' katanya.
Bicskei turut mengakui, beliau tiada pilihan lain berikutan kecederaan ramai pemain utama kali ini.
Antaranya termasuk Azmin Azram Aziz, Irwan Fadli Idrus, Hairuddin Omar, Fadzli Shaari, Khaironnisam Shahabuddin, Juzaili Samion, Akmal Rizal Rakhli dan Tengku Hazman Raja Hassan.
``Saya percaya, pemain yang ada akan memberi seratus peratus komitmen untuk dua perlawanan ini,'' tegasnya.
Kali pertama Bicskei merombak barisan skuad kebangsaan ialah pada perlawanan menentang Hong Kong pada kelayakan Piala Dunia yang lalu apabila menurunkan ramai muka baru.
Senarai pemain:
Ahmad Tharmini Saiban, Chan Wing Hong, Chow Chee Weng, Wong Sai Kong, Eddy Helmi Abdul Manan, Indra Putra Mahayuddin, Liew Kit Kong, Mat Saiful Mohamad, Mohd. Amri Yahyah, Mohd. Azizan Baba, Mohd. Ivan Mohd. Yusof, Mohd. Nor Ismail, Khalid Jamlus, Shukor Adan, K. Nanthakumar, Norfazly Alias, Norhafiz Zamani Misbah, Rosdi Talib (ketua pasukan), V. Saravanan, Wan Rohaimi Ismail, Syamsuri Mustaffa, Mohd. Suffian Ab. Rahman, Azizon Abdul Kadir

Rabu, 26 April 2017

Amri kekal bersama MU - Yusoff


RABU, 26 APRIL 2017 @ 5:10 PM 
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bh.com.my 
PEMAIN tengah Melaka United (MU), Amri Yahyah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber MELAKA: Pemain tengah Melaka United (MU), Amri Yahyah, mahu terus kekal bersama MU. "Dia menyatakan kepada saya secara peribadi," kata Pengurus MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. Menurutnya, keikhlasan Amri dipuji dan dia nyata ingin terus berbakti kepada skuad Melaka selepas MU mengambil langkah drastik memberinya kebebasan memilih sama ada kekal atau kembali beraksi bersama Selangor menjelang jendela perpindahan pemain Mei ini. 

      Katanya, MU menyambut baik hasratnya itu dan menganggap cerita terbabit sudah selesai dan fokus Amri kini terarah kepada persiapan pasukan menghadapi baki pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia. Yusoff mendedahkan perkara berkenaan dengan MU sedia untuk terus menagih khidmat kapten pasukan kebangsaan terbabit menerus minat besar pemain itu berbakti tanpa berbelah bahagi.

 "Saya bertemunya sebelum aksi pasukan berdepan FELDA United selepas skuad Sang Kancil tewas 0-7 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT). Apa yang pasti Amri menunjukkan karakter sebenarnya dalam pertemuan berdepan FELDA United. "Saya melihat dia berlari keliling padang dan memainkan peranan besar dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 terbabit. 

Dia yang diberi peranan jeneral padang oleh jurulatih Eric Williams jelas menampilkan sentuhan terbaik,"katanya. Sehubungan itu, Yusoff juga berharap Amri akan terus memberi persembahan segar dalam perlawanan selepas ini. Sebelum ini, Amri Yahyah turut menyerahkan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) bagi menentukan kedudukannya selepas MU mahu melepaskannya untuk bersama skuad Merah Kuning. Malah selepas meninggalkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dia sememangnya berhasrat bersara dengan pasukan kelahirannya. 

BH Sukan pada 4 April lalu melaporkan pengurusan MU mengambil keputusan luar jangkaan dengan bakal melepaskan Amri Yahyah kembali mewakili pasukan asalnya Selangor menjelang jendela perpindahan pemain musim ini. Yusoff berkata, MU menerima dengan tangan terbuka untuk Amri terus bersama pasukan malah dia yakin pemain terbabit akan terus menjadi contoh dan ikutan pemain lain untuk memberikan yang terbaik bersama pasukan sepanjang musim ini

SUMBERSelanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/276108

Melaka United enggan episod duka berulang

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
 
AMRI Yahyah bakal menjadi sandaran untuk merencanakan rentak permainan Melaka United pada aksi menentang PKNS FC di Stadium hang Jebat, Melaka malam ini.

MELAKA United tidak rela episod duka dalam saingan Liga Super pada 9 April lalu berulang di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.

Ketika itu mereka dibelasah 0-7 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), kekalahan paling teruk pernah dialami oleh skuad yang terkenal dengan jolokan Sang Kancil itu.

Malam ini, skuad kendalian Eric Williams itu akan pastikan kemenangan memihak kepada mereka apabila turun membuat perhitungan dengan PKNS FC di gelanggang yang sama.

Kemenangan menjadi keutamaan dalam misi untuk mengubah kedudukan mereka dalam liga.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, Melaka United kini menghuni tangga ke-10 liga dengan mengumpul sembilan mata manakala PKNS FC berada di tangga kesembilan, juga dengan sembilan mata.

Menurut Williams, mereka perlu menang pada perlawanan menentang PKNS FC bagi menepis kritikan yang dilemparkan kepada skuad tersebut kebelakangan ini.

“Kemenangan sangat penting buat kami bagi memulihkan keyakinan para penyokong setia yang sebelum ini mengkritik hebat ekoran prestasi hambar yang dipamerkan skuad Sang Kancil.

“Tidak dinafikan, sokongan daripada penyokong amat perlu buat para pemain agar bangkit memberi saingan pada perlawanan seterusnya.

“Pasukan Melaka United memerlukan masa dan kita perlu realistik. Jika para penyokong meletakkan harapan yang terlalu tinggi ia boleh membinasakan pasukan kerana kritikan yang berat boleh melemahkan semangat para pemain,” kata Williams ketika ditemui di Melaka kelmarin.

Mengulas lanjut, Williams berkata, biarpun mereka berjaya menewaskan PKNS FC pada perlawanan pusingan kedua Piala FA Februari lalu, beliau enggan memandang mudah cabaran pasukan lawan, namun berharap agar para pemain terus memberi komitmen seratus peratus.

“Setiap perlawanan adalah cabaran buat kami, apa yang penting adalah kami perlu menang kerana tiga mata amat berharga untuk memulihkan semangat dan rasa hormat terhadap pasukan ini,” ujarnya.

Setakat ini, Melaka United yang menjuarai Liga Premier musim lalu sekadar meraih dua kemenangan dan tiga kali seri.
SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4fLnf0yDg

Hakcipta terpelihara

Sabtu, 8 April 2017

Bermula cemerlang di Vietnam

ARKIB : 30/11/2003
Daripada MOHD. TAUFEK RAZAK
 
PENYERANG Malaysia, Akmal Rizal Rakhli (jersi 14) cuba melepasi kawalan pemain Kemboja, Sun Sampratna (13) pada perlawanan pembukaan bola sepak Kumpulan B Sukan SEA XXII di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, semalam. Akmal mencipta hatrik untuk membantu Malaysia menang 8-1. - Gambar AZMAN GHANI.

HO CHI MINH - Skuad bola sepak lelaki negara memulakan cabaran pada Sukan SEA XXII di Vietnam dengan mencatat kemenangan bergaya, membelasah Kemboja 8-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium Thong Naht, Ho Chin Minh semalam.

Penyerang utama, Akmal Rizal Rakhli mencipta hatrik iaitu pada minit ke-49, 51 dan 80 manakala K. Rajan menyumbang dua gol pada minit ke-68 dan 76.

Tiga lagi gol masing-masing dijaringkan permainan pertahanan, Yosri Derma Raju (m-16), Indra Putra Mahayuddin (m-45) dan Juzaili Samion (m-58). Gol saguhati Kemboja dijaringkan Ung Kanyanith pada minit ke-86.

Namun kejayaan itu masih belum boleh dibanggakan kerana selain Kemboja hanya sebuah pasukan lemah, corak permainan yang ditunjukkan skuad negara masih mengundang resah buat jurulatih Allan Harris.

Walaupun lega dengan kemenangan besar itu, Harris berang dengan persembahan pemain bimbingannya yang bermain sambil lewa terutama di babak pertama tetapi memuji gandingan mantap Akmal dan Rajan.

``Selepas ditegur di bilik persalinan pada waktu rehat, pemain cepat memperbaikinya dan ini melegakan saya.

``Tetapi jika mengulanginya ketika bertemu Singapura 3 Disember ini, sukar bagi kita untuk menang kerana mereka lebih baik daripada Kemboja,'' ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak kecewa dengan satu gol yang membolosi gawang Malaysia kerana pemain lain juga perlu diberi peluang untuk beraksi.

``Saya perlu bersikap profesional kerana dalam bola sepak, mana ada pasukan tak ingin menjaringkan gol,'' tegasnya.

Malaysia membuka jaringan ketika permainan berusia 16 minit menerusi sepakan lencong Yosri dari jarak 30 meter dari sebelah kiri selepas menerima sepakan sudut Rajan.

Kemboja bagaimanapun dua kali hampir menyamakan kedudukan menerusi Hok Sotitya tetapi palang dan ofsaid menadi penyelamat pada minit ke-20 dan 31.

Gerakan solo Indra Putra dari tengah padang menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-45 selepas memperdayakan empat pemain Kemboja.

Babak kedua, semangat melawan Kemboja luntur apabila Akmal memulakan hatriknya dengan menjaringkan gol ketiga selepas menampan sepakan percuma Irwan Fadli Idrus sebelum menguis bola ke dalam jaring pada minit ke-49.

Akmal sekali lagi mempamerkan sentuhan berbisanya dengan menyambut hantaran silang Rajan untuk gol keempat pada minit ke-51.

Rajan terus membolosi kawalan pertahanan sebelah kiri Kemboja untuk membolehkan Juzaili pula menyepak masuk dengan mudah gol kelima pada minit ke-58.

Selepas hanya membuka ruang untuk rakannya, giliran Rajan pula menjaringkan gol keenam pada minit ke-68 selepas mendapat umpanan Akmal sebelum menyempurnakan pula gol ketujuh lapan minit kemudian.

Akmal tidak mensia-siakan peluang melakukan hatrik dengan menolak masuk bola pada minit ke-80 untuk gol kelapan negara.

Beberapa pertukaran pemain yang dilakukan Harris selepas itu memberi kesempatan kepada Kemboja menjaringkan gol tunggal mereka menerusi Ung Kanyanith empat minit sebelum permainan tamat. - Utusan

MALAYSIA - Mohd. Syamsuri Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadli Idrus, Abd. Aziz Ismail, Yosri Derma Raju, Indra Putra Mahayuddin (Mohd. Amri Yahyah), Mohd. Mazuki Yusof (Mohd. Norhissham Hassan), Juzaili Samion, K. Rajan, Akmal Rizal Rakhli, Fadzli Saari (Mohd. Harris Kamal)

KEMBOJA - Ouk Mic, Peou Samnang, Ieng Saknida, Samel Nasa, Ung Kanyanith, Hok Sotitya, Chea Virath, Sun Sampratna, Tes Sophat, Morm Visann, Chan Rithy

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4di2Yvb9p
© Utusan Melayu (M) Bhd

Melaka United mungkin lepaskan Amri Yahyah



5 April 2017
Amri Yahyah
Amri Yahyah

MELAKA United masih membuka pintu rundingan berhubung melepaskan penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahyah kembali ke pasukan asalnya Selangor pada jendela perpindahan pemain pada Mei ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan khabar angin yang tersebar mengenai pelepasan pemain berpengalaman itu untuk kembali bersama pasukan The Red Giants.
ADVERTISING
inRead invented by Teads

Beliau berkata, perbincangan lanjut sedang diatur bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal berkaitan perpindahan itu yang dibuat atas semangat persahabatan dalam arena bola sepak selain mengambil kira hasrat pemain itu untuk mengakhiri kariernya di negeri kelahirannya.

"Memang terdapat usaha pihak berkenaan yang mahu mendapatkan Mohd Amri balik ke Selangor dan kami terbuka menerima hasrat mereka untuk membawa beliau (Mohd Amri) kerana aura yang dimilikinya yang memulakan kerjaya bola sepak di negeri itu.

"Ini mungkin penyelesaian terbaik yang memberi situasi menang-menang kepada semua pihak dalam merencana perjalanan pasukan masing-masing pada baki saingan Liga Malaysia musim ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan jersi kepada pasukan bola sepak wanita Melaka United di Stadium Hang Jebat, di sini hari ini.      Mohd Yusoff yang juga Pengurus Melaka United berkata bagaimanapun pemain yang mesra digelar 'Wak Am' itu masih lagi merupakan sebahagian pasukan Sang Kancil sehingga kontraknya terlerai.

"Sejujurnya Melaka United masih memerlukan beliau dan kami juga sayangkan Mohd Amri. Meskipun agak keberatan melepaskannya namun kami bersedia memberi laluan kepadanya untuk kembali bersama Selangor," katanya.

Terdahulu Mohd Yusoff menyerahkan jersi kepada 20 pemain skuad bola sepak wanita Melaka United yang bakal menyertai Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah kali ke-30 yang berlangsung di Miri, Sarawak pada 8 hingga 17 April depan.

Sementara itu, Mohd Amri, 36, ketika ditemui berkata beliau menyerahkan segala keputusan kepada pihak pengurusan dan membiarkan perkara itu dibincang oleh Musa dan FAS.

Namun katanya, sebagai pemain beliau tetap akan menjalankan tugas dan akan terus berbakti kepada Melaka United atau mana-mana pasukan selagi khidmatnya diperlukan.

"Saya sendiri tidak mengetahui perkara itu (perpindahan) dan hanya menyedarinya menerusi pertanyaan daripada pelbagai pihak yang diterima dalam aplikasi WhatsApp malam tadi.

"Tidak dinafikan, saya sememangnya pernah menyatakan hasrat untuk bersara di Selangor sebelum 'menggantung but' daripada dunia bola sepak," kata pemain berasal dari Tanjung Karang itu.

Mohd Amri pernah menjulang piala AFC, tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), serta dua trofi Piala Malaysia, dua kejuaraan Liga Super serta tiga Piala FA sepanjang 12 tahun bersama Selangor.  – Bernama
SUMBER SINAR HARIAN ONLINE 5 April 2017

Melaka United tanpa kelibat Amri



Wartawan Sinar Harian
Melaka United tanpa kelibat Amri
 Melaka United tanpa kelibat Amri
Amri (dua kiri) tidak diturunkan pada aksi menentang JDT di Larkin, esok.

KETUA Jurulatih Melaka United, Eric Williams mengesahkan pasukannya bakal beraksi tanpa kelibat Mohd Amri Yahyah dalam pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, esok.

Kata Williams, beliau terpaksa mengetepikan bekas pemain JDT itu kerana gentleman’s agreement yang dibuat antara pasukan itu dengan  Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Disebabkan terdapat gentlement agreement antara TMJ dan pasukan ini, Amri tidak akan bermain menentang kelab asalnya, biarpun kami mendapatkan penyerang itu secara tetap.

"Amri begitu kecewa tidak dapat beraksi dalam perlawanan ini dan kami akan merindui kelibatnya,” katanya.

Walaupun kehilangan Amri, namun Williams berhasrat untuk melakar kejutan di Larkin untuk mengembalikan keyakinan penyokong.

Ujarnya lagi, beliau akan menurunkan barisan terbaik, termasuk kesemua pemain import yang sudah kembali cergas untuk beraksi dalam perlawanan esok.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 8 April 2017