Rabu, 5 April 2017

Amri tunggu rundingan selesai



AMRI YAHYAH (kiri) dan Mohd. Yusoff Mahadi menjawab soalan pemberita
AMRI YAHYAH (kiri) dan Mohd. Yusoff Mahadi menjawab soalan pemberita selepas majlis Penyerahan Jersi kepada pasukan bola sepak wanita Melaka United di Stadium Hang Jebat, Krubong hari ini. - UTUSAN/NURSURAYA ZULKIFLI

Nursuraya Zulkifli

05 April 2017 8:43 PM
MELAKA 5 April - Melaka United masih dalam peringkat rundingan sebelum melepaskan penyerang berpengalaman, Mohd. Amri Yahyah ke pasukan kelahirannya Selangor pada jendela perpindahan pemain, bulan depan.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Yusof Mahadi berkata, perbincangan lanjut masih dijalankan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal berhubung perpindahan berkenaan yang dibuat atas semangat persahabatan dalam bola sepak selain mengambil kira hasrat pemain itu sebelum ini untuk mengakhiri kariernya di negeri asal.

"Sememangnya terdapat usaha beberapa pihak yang mahu membawa Amri balik ke Selangor dan kita terbuka menerima hasrat itu kerana aura yang dimilikinya dan memulakan kerjaya dalam bola sepak di negeri itu.

"Walaupun kita masih sayangkan Amri dan agak keberatan melepaskan beliau namun kita bersedia memberi laluan kepadanya untuk kembali bersama negeri asalnya dan saya tegaskan sehingga hari ini beliau masih sebahagian dari pasukan Melaka United sehingga kontraknya tamat.

"Ini mungkin penyelesaian terbaik yang memberi situasi menang-menang kepada semua pihak dalam merencana perjalanan pasukan masing-masing pada baki saingan Liga Malaysia musim ini," katanya dalam sidang akbar selepas majlis penyerahan jersi kepada pasukan bola sepak wanita Melaka United di Stadium Hang Jebat, di sini hari ini.

Sementara itu, Amri ketika ditemui menyerahkan segala keputusan kepada pihak pengurusan dan membiarkan perkara itu dibincang oleh Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) dan FAS.

Namun penyerang kebangsaan berusia 36 tahun itu berkata, sebagai pemain dia akan tetap menjalankan tugas dan terus berbakti kepada Melaka United atau mana-mana pasukan selagi khidmatnya diperlukan.

"Saya sendiri tidak mengetahui perkara itu (perpindahan) dan hanya menyedarinya menerusi pertanyaan daripada pelbagai pihak yang diterima dalam aplikasi WhatsApp malam tadi.

"Sebelum ini saya pernah mengatakan hasrat untuk bersara di Selangor sebelum menggantung but,” kata pemain berasal dari Tanjung Karang itu.

Sebelum diikat selama setahun oleh Melaka United pada Disember lalu, Amri pernah menyuarakan hasrat untuk pulang ke pangkuan Selangor sebelum mengumumkan bersara sebagai pemain bola.

Selepas tamat kontrak bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), pemain itu pernah mengakui tawaran diberikan skuad Sang Kancil sukar ditolak meskipun pilihan utamanya selepas JDT adalah Selangor.

Amri pernah menjulang Piala AFC, tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama JDT, selain dua trofi Piala Malaysia, dua kejuaraan Liga Super serta tiga Piala FA sepanjang 12 tahun bersama Selangor. - UTUSAN ONLINE

sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-tunggu-rundingan-selesai-1.465994#ixzz4dNy2UQjf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan