Daripada MOHD. TAUFEK RAZAK
PENYERANG Malaysia, Akmal Rizal
Rakhli (jersi 14) cuba melepasi kawalan pemain Kemboja, Sun Sampratna (13) pada
perlawanan pembukaan bola sepak Kumpulan B Sukan SEA XXII di Stadium Thong
Nhat, Ho Chi Minh, semalam. Akmal mencipta hatrik untuk membantu Malaysia menang
8-1. - Gambar AZMAN GHANI.
HO CHI MINH - Skuad bola sepak
lelaki negara memulakan cabaran pada Sukan SEA XXII di Vietnam dengan mencatat
kemenangan bergaya, membelasah Kemboja 8-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan
B di Stadium Thong Naht, Ho Chin Minh semalam.
Penyerang utama, Akmal Rizal
Rakhli mencipta hatrik iaitu pada minit ke-49, 51 dan 80 manakala K. Rajan
menyumbang dua gol pada minit ke-68 dan 76.
Tiga lagi gol masing-masing
dijaringkan permainan pertahanan, Yosri Derma Raju (m-16), Indra Putra
Mahayuddin (m-45) dan Juzaili Samion (m-58). Gol saguhati Kemboja dijaringkan
Ung Kanyanith pada minit ke-86.
Namun kejayaan itu masih belum
boleh dibanggakan kerana selain Kemboja hanya sebuah pasukan lemah, corak
permainan yang ditunjukkan skuad negara masih mengundang resah buat jurulatih
Allan Harris.
Walaupun lega dengan kemenangan
besar itu, Harris berang dengan persembahan pemain bimbingannya yang bermain
sambil lewa terutama di babak pertama tetapi memuji gandingan mantap Akmal dan
Rajan.
``Selepas ditegur di bilik
persalinan pada waktu rehat, pemain cepat memperbaikinya dan ini melegakan
saya.
``Tetapi jika mengulanginya
ketika bertemu Singapura 3 Disember ini, sukar bagi kita untuk menang kerana
mereka lebih baik daripada Kemboja,'' ujarnya.
Beliau bagaimanapun tidak kecewa
dengan satu gol yang membolosi gawang Malaysia kerana pemain lain juga perlu diberi
peluang untuk beraksi.
``Saya perlu bersikap profesional
kerana dalam bola sepak, mana ada pasukan tak ingin menjaringkan gol,''
tegasnya.
Malaysia membuka jaringan ketika
permainan berusia 16 minit menerusi sepakan lencong Yosri dari jarak 30 meter
dari sebelah kiri selepas menerima sepakan sudut Rajan.
Kemboja bagaimanapun dua kali
hampir menyamakan kedudukan menerusi Hok Sotitya tetapi palang dan ofsaid
menadi penyelamat pada minit ke-20 dan 31.
Gerakan solo Indra Putra dari
tengah padang menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-45 selepas memperdayakan
empat pemain Kemboja.
Babak kedua, semangat melawan
Kemboja luntur apabila Akmal memulakan hatriknya dengan menjaringkan gol ketiga
selepas menampan sepakan percuma Irwan Fadli Idrus sebelum menguis bola ke
dalam jaring pada minit ke-49.
Akmal sekali lagi mempamerkan
sentuhan berbisanya dengan menyambut hantaran silang Rajan untuk gol keempat
pada minit ke-51.
Rajan terus membolosi kawalan
pertahanan sebelah kiri Kemboja untuk membolehkan Juzaili pula menyepak masuk
dengan mudah gol kelima pada minit ke-58.
Selepas hanya membuka ruang untuk
rakannya, giliran Rajan pula menjaringkan gol keenam pada minit ke-68 selepas
mendapat umpanan Akmal sebelum menyempurnakan pula gol ketujuh lapan minit
kemudian.
Akmal tidak mensia-siakan peluang
melakukan hatrik dengan menolak masuk bola pada minit ke-80 untuk gol kelapan
negara.
Beberapa pertukaran pemain yang
dilakukan Harris selepas itu memberi kesempatan kepada Kemboja menjaringkan gol
tunggal mereka menerusi Ung Kanyanith empat minit sebelum permainan tamat. -
Utusan
MALAYSIA - Mohd. Syamsuri
Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadli Idrus, Abd. Aziz Ismail, Yosri
Derma Raju, Indra Putra Mahayuddin (Mohd. Amri Yahyah), Mohd. Mazuki Yusof
(Mohd. Norhissham Hassan), Juzaili Samion, K. Rajan, Akmal Rizal Rakhli, Fadzli
Saari (Mohd. Harris Kamal)
KEMBOJA - Ouk Mic, Peou Samnang,
Ieng Saknida, Samel Nasa, Ung Kanyanith, Hok Sotitya, Chea Virath, Sun
Sampratna, Tes Sophat, Morm Visann, Chan Rithy
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4di2Yvb9p
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan