Rabu, 26 April 2017

Melaka United enggan episod duka berulang

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
 
AMRI Yahyah bakal menjadi sandaran untuk merencanakan rentak permainan Melaka United pada aksi menentang PKNS FC di Stadium hang Jebat, Melaka malam ini.

MELAKA United tidak rela episod duka dalam saingan Liga Super pada 9 April lalu berulang di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.

Ketika itu mereka dibelasah 0-7 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), kekalahan paling teruk pernah dialami oleh skuad yang terkenal dengan jolokan Sang Kancil itu.

Malam ini, skuad kendalian Eric Williams itu akan pastikan kemenangan memihak kepada mereka apabila turun membuat perhitungan dengan PKNS FC di gelanggang yang sama.

Kemenangan menjadi keutamaan dalam misi untuk mengubah kedudukan mereka dalam liga.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, Melaka United kini menghuni tangga ke-10 liga dengan mengumpul sembilan mata manakala PKNS FC berada di tangga kesembilan, juga dengan sembilan mata.

Menurut Williams, mereka perlu menang pada perlawanan menentang PKNS FC bagi menepis kritikan yang dilemparkan kepada skuad tersebut kebelakangan ini.

“Kemenangan sangat penting buat kami bagi memulihkan keyakinan para penyokong setia yang sebelum ini mengkritik hebat ekoran prestasi hambar yang dipamerkan skuad Sang Kancil.

“Tidak dinafikan, sokongan daripada penyokong amat perlu buat para pemain agar bangkit memberi saingan pada perlawanan seterusnya.

“Pasukan Melaka United memerlukan masa dan kita perlu realistik. Jika para penyokong meletakkan harapan yang terlalu tinggi ia boleh membinasakan pasukan kerana kritikan yang berat boleh melemahkan semangat para pemain,” kata Williams ketika ditemui di Melaka kelmarin.

Mengulas lanjut, Williams berkata, biarpun mereka berjaya menewaskan PKNS FC pada perlawanan pusingan kedua Piala FA Februari lalu, beliau enggan memandang mudah cabaran pasukan lawan, namun berharap agar para pemain terus memberi komitmen seratus peratus.

“Setiap perlawanan adalah cabaran buat kami, apa yang penting adalah kami perlu menang kerana tiga mata amat berharga untuk memulihkan semangat dan rasa hormat terhadap pasukan ini,” ujarnya.

Setakat ini, Melaka United yang menjuarai Liga Premier musim lalu sekadar meraih dua kemenangan dan tiga kali seri.
SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4fLnf0yDg

Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan