Ahad, 11 Jun 2017

Amri Yahyah turut terima cincin khas JDT



Sabtu, 10 Jun 2017 @ 9:20 PM
 
AMRI Yahyah menerima cincin khas daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, penaung Kelab Bola sepak Johor Darul Ta'zim. - Foto Facebook Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Amri Yahyah turut menerima cincin khas Kelab Bola sepak Johor Darul Ta'zim sempena membantu kejayaan pasukan menjuarai liga buat kali ketiga berturut-turut, musim ini.

       Cincin penghargaan itu diserahkan kepada Amri yang kini beraksi untuk Selangor ketika pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di Hotel Thistle, Johor Bahru, Johor. Berdasarkan kenyataan disiarkan dalam laman web rasmi Facebook Johor Southern Tigers hari ini, kelab itu mengucapkan terima kasih atas jasa dan bakti semua pemain kepada kelab selama ini.   

      Selepas meninggalkan JDT, Amri pernah menyarung jersi pasukan Melaka United (MU) hampir semusim sebelum kembali ke skuad The Red Giants ketika jendela perpindahan pemain akan ditutup esok.

SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/291677

Sabtu, 10 Jun 2017

Tiga pemain Selangor kena denda



ARKIB : 17/01/2006

Oleh AMRAN MULUP

PETALING JAYA - Tiga pemain nakal Selangor boleh menarik nafas lega tidak dikenakan penggantungan perlawanan sebaliknya sekadar didenda antara RM3,000 hingga RM5,000 atas perilaku kurang sopan sewaktu skuad Merah Kuning tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 31 Disember lalu.

Pemain veteran, K. Sanbagamaran didenda RM5,000; bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah pula RM4,000 dan pemain muda, Fairuz Montana Zainal Abidin sebanyak RM3,000.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Abdul Hamid Mustafa berkata, ketiga-tiga pemain itu bernasib baik tidak dikenakan penggantungan kerana insiden yang berlaku antara mereka dengan penyokong berlaku selepas tamat perlawanan.

``Sehubungan itu, kami dapati mereka bersalah kerana kelakuan kurang sopan dan mesyuarat yang bersidang bersetuju mereka dikenakan denda,'' ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebelum ini membuat keputusan ketiga-tiga pemain tersebut sekadar diberi amaran keras.

Dalam insiden tersebut, Sanbagamaran telah melontar botol mineral ke arah penyokong manakala Mohd. Amri dan Fairuz pula bertengkar dan hampir mencetuskan pergaduhan.

Mereka bertindak di luar batasan selepas dimaki hamun serta dilemparkan dengan kata-kata kesat oleh penyokong Merah Kuning selepas Selangor tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan.

Pada mesyuarat yang sama juga kata Abdul Hamid, lima pemain daripada Liga Super dan Liga Perdana masing-masing digantung dua perlawanan serta didenda RM1,000 setiap seorang.

Mereka ialah S. Shanker (Pulau Pinang E & O), Fakhruddin Shah Sallehuddin (Shahzan Muda), Ahmad Latiff Kamaruddin (Johor), M. Khairul Othman (Kedah) dan Maldo Nado (Melaka).

Menurut beliau, kelima-lima pemain itu dikenakan dengan hukuman tersebut selepas masing-masing di perintah buang padang apabila mengutip dua kad kuning.

Sementara itu, jawatankuasa turut mengenakan denda ke atas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebanyak RM5,000 dan Kelab Bola Sepak Telekom Melaka (TMFC) pula dengan RM10,000 atas kecuaian mengawasi keselamatan di stadium. Di samping itu, dua penolong jurulatih Kedah, Radhi Mat Din dan Ahmad Sabri Ismail sekadar diberi amaran keras selepas didapati bersalah masuk ke padang sewaktu pertemuan dengan Perak UPB pada 21 Disember lalu.

Sementara itu, Pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi dan pengurus Perlis, Azmi Saad akan dipanggil sekali lagi berdepan dengan jawatankuasa itu pada 26 Januari ini.

Mereka yang tidak dapat hadir ke jawatankuasa itu semalam atas masalah peribadi di mana Jamal Nasir baru menjalani pembedahan manakala Azmi pula ekoran kematian bapa saudara.

``Jawatankuasa telah menerima surat ketidakhadiran mereka yang dikemukakan oleh persatuan bola sepak masing-masing dan mereka akan diminta hadir pada 26 Januari ini,'' ujarnya.

Beliau berkata, penggantungan sementara daripada semua jawatan yang disandang oleh Jamal Nasir akan terus kekal sehingga beliau hadir untuk dibicarakan pada 26 Januari ini.

Bagaimanapun kata Abdul Hamid, seorang lagi Naib Presiden FAM yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Anifah Aman akan dipanggil selepas kepulangan beliau dari mengerjakan haji.

Jamal dihadapkan ke jawatankuasa itu 6 Januari lalu atas dakwaan menceroboh padang, mengeluar kata-kata kurang manis serta membuat kenyataan di media elektronik dan massa selepas perlawanan Liga Super menentang MPPJ di Stadium Perak pada 31 Disember lalu.

Manakala pengurus Perlis pula didapati membaling botol mineral ke arah pengadil perlawanan sewaktu perlawanan yang menyaksikan Perlis tewas 1-3 kepada MPPJ di Stadium Petaling Jaya pada 20 Disember lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jbYcQRGd
© Utusan Melayu (M) Bhd

FAM panggil tiga pemain Selangor -- Gelagat Sanbagamaran, Amri dan Fairuz bertentangan tatasusila



ARKIB : 10/01/2006

Oleh AMRAN MULUP
 KUALA LUMPUR - Sesudah ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar digantung 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tiga pemain `nakal' Selangor pula bakal menerima nasib yang sama.

Tiga pemain Selangor, K. Sanbagamaran, Mohd. Amri Yahyah dan Fairuz Montana Zainal Abidin Hassan akan dipanggil menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 16 Januari ini.

Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, FAM bukan tidak puas hati dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang membuat kepu-tusan memberi amaran keras ke atas ketiga-tiga pemain tersebut.

Sebaliknya, menurut beliau, jawatankuasa memandang serius tingkah laku ketiga-tiga pemain itu yang bertengkar dengan penyokong Merah Kuning sewaktu pertemuan dengan Negeri Sembilan.

``Daripada apa yang jawatankuasa lihat, gelagat tiga pemain Selangor itu jelas bertentangan dengan tatasusila sebagai pemain bola sepak,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.

Dalam insiden sewaktu Selangor tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Disember lalu, Sanbagamaran, Mohd. Amri dan Fairuz Montana telah bertengkar dengan segelintir penyokong Merah Kuning dan hampir-hampir mencetuskan pergaduhan.

Dalam insiden tersebut, segelintir penyokong meluahkan kata-kata kesat ke arah pengurus, jurulatih dan pemain.

Malah, segelintir penyokong mencaci dan mencerca dengan kata-kata kesat ekoran kekalahan keempat pasukan itu.

Situasi panas yang diwujudkan oleh mereka itu menyebabkan Sanbagamaran hilang sabar dan melontar botol mineral ke arah penyokong tersebut.

Sementara itu, Mohd. Amri dan Fairuz Montana pula terus meluru ke pagar dan bertengkar dengan segelintir penyokong Selangor.

Terdahulu Jawatankuasa Tatatertib FAS membuat keputusan sekadar memberi amaran keras dengan alasan kesalahan yang dilakukan oleh tiga pemain itu adalah yang pertama.

Mengulas lanjut Ibrahim menegaskan, FAM akan meneliti laporan penuh daripada FAS dan pesuruhjaya perlawanan pada malam kejadian tersebut.

``Selain itu juga, FAM akan mendapatkan pita video yang merakamkan gelagat ketiga-tiga pemain selepas tamat perlawanan dengan Negeri Sembilan.

``Kesemua ini akan FAM teliti bagi mendapat gambaran sebenarnya insiden yang terjadi. Kita memandang serius kejadian membabitkan tingkah laku pemain di padang,'' katanya.

Beliau berkata, jika jawatankuasa Tatatertib berpuas hati tingkah laku tiga pemain Selangor itu melanggar tatasusila sebagai pemain bola sepak, mereka bakal berdepan hukuman berat.

``Hukuman itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib,'' ujarnya.

Dalam pada itu beliau menambah, jawatankuasa itu akan turut membicarakan pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi yang tidak hadir pada sidang itu sebelum ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jaewAJwV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor beri amaran keras



ARKIB : 04/01/2006

PETALING JAYA - Tiga pemain Selangor, K. Sanbagamaran, Mohd. Amri Yahyah dan Fairuz Montana Zainal Abidin boleh menarik nafas lega kerana terlepas daripada hukuman denda dan penggantungan perlawanan, lapor AMRAN MULUP.

Gara-gara gelagat mereka bertengkar dengan segelintir penyokong Merah Kuning yang hampir-hampir mencetuskan pergaduhan sewaktu pertemuan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas, mereka sekadar diberi amaran keras.

Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang bersidang semalam mengambil keputusan sebulat suara memberi amaran keras ke atas ketiga-tiga pemain tersebut ekoran insiden tersebut.

Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman berkata, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira insidn itu adalah kesalahan pertama yang dilakukan oleh ketiga-tiga pemain tersebut.

``Dalam kejadian itu ia tidak melibatkan sebarang insiden serius membabitkan pergaduhan antara mereka dengan penyokong sebaliknya berlaku perbalahan mulut.

``Kerana itu jawatankuasa berpendapat tindakan memberi amaran keras adalah keputusan yang wajar.

``Selepas ini, jika mereka melakukan perkara tersebut FAS tidak teragak-agak mengenakan denda atau menggantung mereka,'' ujar Satim dalam sidang akhbar di pejabat FAS, Kelana Jaya, semalam.

Dalam insiden yang menyaksikan Selangor tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan, segelintir penyokong meluahkan kata-kata kesat ke arah pengurus, jurulatih dan pemain.

Malah segelintir penyokong mencaci dan mencerca dengan kata-kata kesat ekoran kekalahan keempat pasukan itu.

Situasi panas yang diwujudkan oleh mereka itu menyebabkan Sanbagamaran hilang sabar dan melontar botol mineral ke arah penyokong tersebut.

Manakala Mohd. Amri dan Fairuz Montana pula terus meluru ke pagar dan bertengkar dengan segelintir penyokong Selangor.

Mengulas lanjut Satim berkata, ekoran tindakan penonton itu menyebabkan ketiga-tiga pemain hilang pertimbangan dan bertindak di luar batasan.

Beliau menegaskan ketiga-tiga pemain tersebut mengakui kesalahan mereka dan telah berjanji tidak akan melakukan perkara tersebut selepas ini.

Pada sidang akhbar tersebut Sanbagamaran mewakili dua lagi rakannya telah memohon maaf kepada penyokong Merah Kuning ekoran tindakan mereka

``Kami bertiga memohon maaf kepada semua penyokong Merah Kuning atas kejadian itu dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

``Kami juga memohon kepada penyokong untuk terus memberi sokongan moral,'' ujar Sanbagamaran.

Satim menambah, keputusan jawatankuasa Disiplin FAS itu akan dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jaOiU0FO
© Utusan Melayu (M) Bhd