Jumaat, 9 Jun 2017

Amri tidak wajar bertindak



ARKIB : 02/01/2006

KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui sudah cuba menarik, menahan dan menyabarkan Amri Yahyah daripada menyerbu kawasan penonton kelmarin tetapi pemain tengahnya itu pula masih gagal mengawal sikap panas barannya.

Kata Dollah, beliau sendiri tidak mengerti punca sebenar Amri bertindak sedemikian di Stadium Nasional, Bukit Jalil biarpun sempat menasihatkan kesemua pemain Selangor selepas itu bahawa mereka tidak wajar melakukannya.

``Saya sudah tahan, pegang, tarik Amri tetapi dia pergi juga (menyerbu ke tempat duduk penonton). Saya tidak tahu sama ada kejadian itu akibat ejekan penonton kerana kami kalah 0-2 kepada Negeri Sembilan atau ada sebab lain.

``Tapi saya sudah nasihatkan mereka selepas itu yang tindakan tersebut memang tidak wajar dilakukan,'' katanya, semalam, mengulas mengenai insiden tegang selepas perlawanan bola sepak Liga Super itu yang melibatkan Amri di samping K. Sanbagamaran dan Fairuz Montana.

Insiden itu dikatakan tercetus ekoran ejekan lantang penonton setelah juara tiga piala musim lalu itu tumbang lagi kelmarin sekali gus melontar mereka ke tempat kedua tercorot Liga Super selepas lima perlawanan sejak 3 Disember lalu.

Tindakan panas baran Amri yang cuba disabarkan oleh penjaga gol, Jamsari Sabian itu sempat dirakamkan oleh sebuah stesen televisyen dan disiarkan dalam segmen berita sukannya, semalam.

Gergasi Merah tumpas dengan jaringan dalam tempoh dua minit, mulai ke-62, masing-masing menerusi tolakan mudah Idris Karim dan percubaan jarak jauh oleh pemain import dari Nigeria, Bassey Richard lantas membawa lawan melonjak ke tangga kedua.

Merujuk keputusan yang terus menghampakan Selangor itu, Dollah sebaliknya hanya mampu menganggap tuah masih tidak menyebelahi Selangor lagi biarpun sekian banyak percubaan dilakukan dan peluang menghasilkan gol terhidang luas.

``Ada dua atau tiga peluang yang dicipta dan mampu menghasilkan gol, digagalkan kerana didapati ofsaid oleh pengadil. Ada beberapa keputusannya boleh dipertikaikan tetapi saya tidak mahu menjadikannya alasan.

``Saya menerima hakikat kekalahan ini dan Negeri Sembilan sudah memanfaatkan peluang daripada kesilapan kami untuk mencuri dua gol itu,'' kata jurulatih dengan sentuhan emas selepas menjulang Piala Liga Perdana, FA dan Malaysia, musim lalu.

Dollah turut menafikan ketumpulan barisan depan menjadi punca kegagalan Selangor meraih sebarang gol mahupun mata selain menyangkal kesilapan Jamsari meluru terlalu awal dan jauh ketika cuba menyekat gol kedua lawan.

``Jamsari bertindak tepat ketika keluar menyekat percubaan awal Negeri Sembilan tetapi jaringan lawan dari tengah padang itu bukan berpunca daripada kelekaan benteng sebaliknya semua bahagian yang tidak menjadi,'' tegasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4jYKqJ6Fe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan