ARKIB : 17/01/2006
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA - Tiga pemain
nakal Selangor boleh menarik nafas lega tidak dikenakan penggantungan
perlawanan sebaliknya sekadar didenda antara RM3,000 hingga RM5,000 atas
perilaku kurang sopan sewaktu skuad Merah Kuning tewas 0-2 kepada Negeri
Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 31 Disember lalu.
Pemain veteran, K. Sanbagamaran
didenda RM5,000; bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah pula RM4,000 dan
pemain muda, Fairuz Montana Zainal Abidin sebanyak RM3,000.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa
Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Abdul Hamid Mustafa
berkata, ketiga-tiga pemain itu bernasib baik tidak dikenakan penggantungan
kerana insiden yang berlaku antara mereka dengan penyokong berlaku selepas
tamat perlawanan.
``Sehubungan itu, kami dapati
mereka bersalah kerana kelakuan kurang sopan dan mesyuarat yang bersidang
bersetuju mereka dikenakan denda,'' ujarnya.
Beliau menyatakan demikian
dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Wisma FAM,
Kelana Jaya di sini, semalam.
Pada mesyuarat Jawatankuasa
Tatatertib Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebelum ini membuat keputusan
ketiga-tiga pemain tersebut sekadar diberi amaran keras.
Dalam insiden tersebut,
Sanbagamaran telah melontar botol mineral ke arah penyokong manakala Mohd. Amri
dan Fairuz pula bertengkar dan hampir mencetuskan pergaduhan.
Mereka bertindak di luar
batasan selepas dimaki hamun serta dilemparkan dengan kata-kata kesat oleh
penyokong Merah Kuning selepas Selangor tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan.
Pada mesyuarat yang sama juga
kata Abdul Hamid, lima pemain daripada Liga Super dan Liga Perdana
masing-masing digantung dua perlawanan serta didenda RM1,000 setiap seorang.
Mereka ialah S. Shanker (Pulau
Pinang E & O), Fakhruddin Shah Sallehuddin (Shahzan Muda), Ahmad Latiff
Kamaruddin (Johor), M. Khairul Othman (Kedah) dan Maldo Nado (Melaka).
Menurut beliau, kelima-lima
pemain itu dikenakan dengan hukuman tersebut selepas masing-masing di perintah
buang padang apabila mengutip dua kad kuning.
Sementara itu, jawatankuasa
turut mengenakan denda ke atas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebanyak
RM5,000 dan Kelab Bola Sepak Telekom Melaka (TMFC) pula dengan RM10,000 atas
kecuaian mengawasi keselamatan di stadium. Di samping itu, dua penolong
jurulatih Kedah, Radhi Mat Din dan Ahmad Sabri Ismail sekadar diberi amaran
keras selepas didapati bersalah masuk ke padang sewaktu pertemuan dengan Perak
UPB pada 21 Disember lalu.
Sementara itu, Pengurus Perak,
Datuk Jamal Nasir Rasdi dan pengurus Perlis, Azmi Saad akan dipanggil sekali
lagi berdepan dengan jawatankuasa itu pada 26 Januari ini.
Mereka yang tidak dapat hadir
ke jawatankuasa itu semalam atas masalah peribadi di mana Jamal Nasir baru
menjalani pembedahan manakala Azmi pula ekoran kematian bapa saudara.
``Jawatankuasa telah menerima
surat ketidakhadiran mereka yang dikemukakan oleh persatuan bola sepak
masing-masing dan mereka akan diminta hadir pada 26 Januari ini,'' ujarnya.
Beliau berkata, penggantungan
sementara daripada semua jawatan yang disandang oleh Jamal Nasir akan terus
kekal sehingga beliau hadir untuk dibicarakan pada 26 Januari ini.
Bagaimanapun kata Abdul Hamid,
seorang lagi Naib Presiden FAM yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah
(SAFA), Datuk Anifah Aman akan dipanggil selepas kepulangan beliau dari
mengerjakan haji.
Jamal dihadapkan ke
jawatankuasa itu 6 Januari lalu atas dakwaan menceroboh padang, mengeluar
kata-kata kurang manis serta membuat kenyataan di media elektronik dan massa
selepas perlawanan Liga Super menentang MPPJ di Stadium Perak pada 31 Disember
lalu.
Manakala pengurus Perlis pula
didapati membaling botol mineral ke arah pengadil perlawanan sewaktu perlawanan
yang menyaksikan Perlis tewas 1-3 kepada MPPJ di Stadium Petaling Jaya pada 20
Disember lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jbYcQRGd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan