Sabtu, 10 Jun 2017

Selangor beri amaran keras



ARKIB : 04/01/2006

PETALING JAYA - Tiga pemain Selangor, K. Sanbagamaran, Mohd. Amri Yahyah dan Fairuz Montana Zainal Abidin boleh menarik nafas lega kerana terlepas daripada hukuman denda dan penggantungan perlawanan, lapor AMRAN MULUP.

Gara-gara gelagat mereka bertengkar dengan segelintir penyokong Merah Kuning yang hampir-hampir mencetuskan pergaduhan sewaktu pertemuan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas, mereka sekadar diberi amaran keras.

Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang bersidang semalam mengambil keputusan sebulat suara memberi amaran keras ke atas ketiga-tiga pemain tersebut ekoran insiden tersebut.

Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman berkata, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira insidn itu adalah kesalahan pertama yang dilakukan oleh ketiga-tiga pemain tersebut.

``Dalam kejadian itu ia tidak melibatkan sebarang insiden serius membabitkan pergaduhan antara mereka dengan penyokong sebaliknya berlaku perbalahan mulut.

``Kerana itu jawatankuasa berpendapat tindakan memberi amaran keras adalah keputusan yang wajar.

``Selepas ini, jika mereka melakukan perkara tersebut FAS tidak teragak-agak mengenakan denda atau menggantung mereka,'' ujar Satim dalam sidang akhbar di pejabat FAS, Kelana Jaya, semalam.

Dalam insiden yang menyaksikan Selangor tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan, segelintir penyokong meluahkan kata-kata kesat ke arah pengurus, jurulatih dan pemain.

Malah segelintir penyokong mencaci dan mencerca dengan kata-kata kesat ekoran kekalahan keempat pasukan itu.

Situasi panas yang diwujudkan oleh mereka itu menyebabkan Sanbagamaran hilang sabar dan melontar botol mineral ke arah penyokong tersebut.

Manakala Mohd. Amri dan Fairuz Montana pula terus meluru ke pagar dan bertengkar dengan segelintir penyokong Selangor.

Mengulas lanjut Satim berkata, ekoran tindakan penonton itu menyebabkan ketiga-tiga pemain hilang pertimbangan dan bertindak di luar batasan.

Beliau menegaskan ketiga-tiga pemain tersebut mengakui kesalahan mereka dan telah berjanji tidak akan melakukan perkara tersebut selepas ini.

Pada sidang akhbar tersebut Sanbagamaran mewakili dua lagi rakannya telah memohon maaf kepada penyokong Merah Kuning ekoran tindakan mereka

``Kami bertiga memohon maaf kepada semua penyokong Merah Kuning atas kejadian itu dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

``Kami juga memohon kepada penyokong untuk terus memberi sokongan moral,'' ujar Sanbagamaran.

Satim menambah, keputusan jawatankuasa Disiplin FAS itu akan dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jaOiU0FO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan