ARKIB : 10/01/2006
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Sesudah ketua
pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar digantung 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tiga pemain `nakal' Selangor pula bakal
menerima nasib yang sama.
Tiga pemain Selangor, K.
Sanbagamaran, Mohd. Amri Yahyah dan Fairuz Montana Zainal Abidin Hassan akan
dipanggil menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 16 Januari ini.
Setiausaha Agung badan induk
itu, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, FAM bukan tidak puas hati dengan
keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang
membuat kepu-tusan memberi amaran keras ke atas ketiga-tiga pemain tersebut.
Sebaliknya, menurut beliau,
jawatankuasa memandang serius tingkah laku ketiga-tiga pemain itu yang
bertengkar dengan penyokong Merah Kuning sewaktu pertemuan dengan Negeri
Sembilan.
``Daripada apa yang
jawatankuasa lihat, gelagat tiga pemain Selangor itu jelas bertentangan dengan
tatasusila sebagai pemain bola sepak,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.
Dalam insiden sewaktu Selangor
tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31
Disember lalu, Sanbagamaran, Mohd. Amri dan Fairuz Montana telah bertengkar
dengan segelintir penyokong Merah Kuning dan hampir-hampir mencetuskan
pergaduhan.
Dalam insiden tersebut,
segelintir penyokong meluahkan kata-kata kesat ke arah pengurus, jurulatih dan
pemain.
Malah, segelintir penyokong
mencaci dan mencerca dengan kata-kata kesat ekoran kekalahan keempat pasukan
itu.
Situasi panas yang diwujudkan
oleh mereka itu menyebabkan Sanbagamaran hilang sabar dan melontar botol mineral
ke arah penyokong tersebut.
Sementara itu, Mohd. Amri dan
Fairuz Montana pula terus meluru ke pagar dan bertengkar dengan segelintir
penyokong Selangor.
Terdahulu Jawatankuasa
Tatatertib FAS membuat keputusan sekadar memberi amaran keras dengan alasan
kesalahan yang dilakukan oleh tiga pemain itu adalah yang pertama.
Mengulas lanjut Ibrahim
menegaskan, FAM akan meneliti laporan penuh daripada FAS dan pesuruhjaya
perlawanan pada malam kejadian tersebut.
``Selain itu juga, FAM akan
mendapatkan pita video yang merakamkan gelagat ketiga-tiga pemain selepas tamat
perlawanan dengan Negeri Sembilan.
``Kesemua ini akan FAM teliti
bagi mendapat gambaran sebenarnya insiden yang terjadi. Kita memandang serius
kejadian membabitkan tingkah laku pemain di padang,'' katanya.
Beliau berkata, jika
jawatankuasa Tatatertib berpuas hati tingkah laku tiga pemain Selangor itu
melanggar tatasusila sebagai pemain bola sepak, mereka bakal berdepan hukuman
berat.
``Hukuman itu akan ditentukan
oleh Jawatankuasa Tatatertib,'' ujarnya.
Dalam pada itu beliau menambah,
jawatankuasa itu akan turut membicarakan pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir
Rasdi yang tidak hadir pada sidang itu sebelum ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jaewAJwV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan