ARKIB : 03/01/2006
KUALA LUMPUR - Perangai
kebudak-budakan pemain veteran, K. Sanbagamaran dan penyerang, Mohd. Amri
Yahyah bakal mengundang musibah ke atas kedua-dua pemain utama Selangor, lapor
AMRAN MULUP.
Amat memalukan melihat gelagat
Sanbagamaran membaling botol mineral manakala Amri bertengkar dengan segelintir
penyokong Merah Kuning sewaktu Selangor tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di
Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lepas.
Gara-gara tingkah laku di luar
batasan yang ditunjukkan oleh Sanbagamaran dan Amri mengundang Jawatankuasa
Tatatertib Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengadakan mesyuarat tergempar
dalam masa terdekat ini.
Setiausaha Agung FAS, Hamidin
Mohd. Amin berkata, tindakan yang dilakukan oleh Sanbagamaran dan Amri amat
memalukan serta tidak sepatutnya berlaku.
Menurut beliau, FAS memandang
serius insiden yang membabitkan dua pemain utama Selangor itu bertengkar dengan
segelintir penyokong berhampiran tempat duduk pemain sejurus tamat perlawanan.
``Mesyuarat Jawatankuasa
Tatatertib yang dipengerusikan oleh Samin Sarmin akan mengadakan mesyuarat dan
menentukan bentuk hukuman yang akan dikenakan ke atas Sanbagamaran dan Amri,''
ujarnya ketika dihubungi semalam.
Dalam insiden itu, yang menyaksikan
Selangor tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan, segelintir penyokong meluahkan
kata-kata kesat ke atas pengurus, jurulatih dan pemain. Malah segelintir
daripada penyokong Merah Kuning itu mencaci dan mencerca ekoran kekalahan kali
keempat Selangor.
Situasi panas yang diwujudkan
oleh mereka itu menyebabkan Sanbagamaran hilang sabar dan melontar botol
mineral ke arah penyokong tersebut.
Manakala Amri pula terus meluru
ke pagar dan bertengkar dengan segelintir penyokong Selangor. Mereka juga turut
mengajak Amri bergaduh.
Mengulas lanjut, Hamidin
berkata, pemain telah dinasihatkan agar tidak bertindak di luar batasan dengan
tindakan segelintir penyokong yang marah atas kekalahan keempat yang dialami
oleh Selangor.
``Mungkin Sanbagamaran dan Amri
hilang sabar gara-gara kata-kata kesat yang dilemparkan,'' ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jYMPcGiI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan