ARKIB : 15/07/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Mohd. Amri Yahyah (kiri) diasak oleh pemain Zimbabwe, Abel Chimusaru dalam perlawanan kedua persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Asmaruddin Jamaluddin
SHAH ALAM - Berbeza dengan aksi perlawanan pertama, Malaysia hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Zimbabwe di Stadium Shah Alam, semalam ditambah dengan permainan kurang agresif dan terikut-ikut dengan rentak lawan.
Mungkin pemain lebih berhati-hati mengelak daripada berlaku sebarang kecederaan menjelang pertemuan dengan Manchester United, Sabtu ini, namun apa sahaja alasan - perlawanan semalam amat membosankan seperti pertemuan kelab di dalam Liga Perdana.
Bagi Rajagobal sendiri, dia melihat aksi yang diperagakan anak buahnya tidak ada beza seperti perlawanan pertama dengan beberapa peluang dapat dilakukan kecuali ketumpulan barisan serangan menggagalkan mereka meraih jaringan tambahan pada separuh masa kedua.
"Sukar untuk dibandingkan penyerang yang kita ada dengan penyerang Manchester United, mereka mempunyai pemain yang sudah berlatih bertahun-tahun termasuk sentuhan semula jadi, sedangkan pemain kita masih lagi muda," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan tamat.
Rajagobal mengakui sendiri pemainnya bermula dengan perlahan pada 20 minit awal sebelum mempamerkan rentak agresif selepas itu dan berjaya memperoleh jaringan pada minit ke-38 melalui pemain pertahanan V. Thirumurugan.
"Mereka adalah pemain muda banyak perkara yang perlu mereka belajar, apa yang saya mahukan mereka menunjukkan kebolehan yang dimiliki, bagaimanapun ada segelintir pemain yang memberi aksi mengecewakan hari ini (semalam).
"Apa pun selepas dua perlawanan saya sudah mendapat gambaran awal siapa yang akan beraksi terlebih dahulu menentang United nanti, sekarang saya akan memantau mereka dalam latihan tiga hari sebelum perlawanan sebenar," kata Rajagobal.
Pada 10 minit pertama kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang membosankan dengan bola banyak berlegar di kawasan tengah, sehinggalah cubaan pertama dari penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-20 apabila membawa bola secara solo sebelum melakukan rembatan tepat ke arah penjaga gol, Godfrey Mangove.
Peluang skuad kebangsaan hadir lagi pada minit ke-29 apabila Amri Yahyah menerima hantaran pendek dari Indra Putra Mahayuddin, namun rembatan pemain Selangor itu di dalam petak penalti terkena pertahanan Zimbabwe sebelum bola melantun keluar
Satu-satunya percubaan yang dilakukan Zimbabwe pada separuh masa pertama dilakukan Daniel Zokoto pada minit ke-31, namun percubaannya dari luar petak penalti tepat ke dakapan penjaga gol, Farizal Marlias.
Malaysia memecah kebuntuan pada minit ke-38 apabila pertahanan kanan, V. Thirumurugan melakukan larian solo dari kawasan sendiri dan mara ke dalam petak penalti dengan melakukan rembatan leret menewaskan Mangove.
Malaysia yang sebelum ini membelasah pasukan Zimbabwe 4-0 dalam perlawanan pertama Ahad lalu gagal menambah jaringan pada separuh masa kedua, sebaliknya K. Rajagobal mengambil peluang dengan membuat 11 pertukaran termasuk penjaga gol.
Pada masa kecederaan Malaysia mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kedua apabila pemain gantian, Ahmad Shakir Ali membuat hantaran pendek kepada Stanley Bernard namun rembatan penyerang UPB-MyTeam itu berjaya ditepis penjaga gol kedua Zimbabwe, Tapiwa Mafunga.
Tambah Rajagobal, walaupun United sebuah pasukan yang kuat, mereka akan menggunakan kekuatan yang sedia ada pada pemainnya sekarang dan mencari kelemahan pasukan bimbingan Alex Ferguson itu.
"Saya mahu pemain menikmati perlawanan Sabtu ini sebaik mungkin dan mana-mana jurulatih dalam dunia ini tidak mahu pasukannya tewas.
"Kami tetap optimistik dan teruja, saya harap mereka cuba yang terbaik serta menunjukkan permainan yang berkualiti," katanya.
Pada pertemuan terakhir skuad kebangsaan menentang United 2001 lalu, Malaysia tewas 6-0.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Y0yar0xU
© Utusan Melayu (M) Bhd