Isnin, 15 April 2019

Amri terasa 'tarikan magnet' Selangor


Selasa, 24 March 2015 | 12:03am
Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
 
ANDAI masih bertenaga, Amri Yahyah menyuarakan betapa dia berhajat mahu pulang ke pangkuan Selangor satu hari nanti sebelum menggantung but bola sepak buat selama-lamanya.

Bintang skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak menolak kemungkinan untuk kembali menyarung jersi pasukan negeri kelahirannya.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, saya akan pulang ke Selangor. Itu saja pasukan yang masih saya ingat sampai sekarang kerana dari pasukan itulah saya dapat menjadi seorang pemain bola sepak yang sebenar sehingga ke hari ini.

"Sama ada dalam masa terdekat atau tidak, itu tengok kepada suasana. Insya-Allah kalau cepat, maka cepatlah. Kalau lambat, nak buat macam mana, kena tunggulah," kata Amri ketika ditemui BH Online selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi semalam.


AMRI Yahyah pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya. - Foto Goh Thean Howe
Amri yang sudah mencecah usia 34 tahun pada 21 Januari lalu dianggap legenda skuad Merah Kuning itu kerana beraksi selama 13 musim lamanya bersama Selangor sejak tahun 2001 sebelum akhirnya memilih untuk bertukar angin menyertai JDT pada 2014.

Namun kata-kata Amri itu bukan bermakna dia tidak mengutamakan pasukannya ketika ini, JDT apabila tetap bersikap profesional dengan berpegang teguh kepada peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung untuk memastikan skuad Harimau Selatan terus meraih kejuaraan selepas membantu JDT menjuarai Liga Super, musim lalu.

"Setiap pasukan yang saya pergi, saya nak beri sesuatu apa yang mereka inginkan seperti mahukan piala. Jadi saya akan berusaha untuk pasukan itu mendapatkan piala," tegas Amri.

Amri bagaimanapun tidak dapat menetapkan bila dia akan kembali ke Selangor, sama ada sebelum dia mengumumkan persaraan atau sebaliknya kerana semua itu bergantung kepada prestasi semasanya.


AMRI tidak menafikan cinta pada skuad bola sepak Selangor masih menebal. - Foto Goh Thean Howe
"Ia bergantung kepada persembahan dan kualiti permainan saya ketika itu nanti. Tanpa kualiti, saya tak mahu membebankan sesebuah pasukan itu mengambil saya untuk setakat menjadi 'role model' saja.

"Saya tak boleh jadi seperti itu. Saya tetap perlu memberikan persembahan dan permainan yang berkualiti untuk pasukan yang saya wakili," jelas pemain yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor itu.

Dalam pada itu, mengenai kedudukannya selaku pemain paling berusia yang masih kekal dalam skuad kebangsaan kendalian Dollah Salleh selain pemain FELDA United, Indra Putra Mahayuddin yang sama berusia 34 tahun, Amri tetap positif untuk terus menyarung jersi Harimau Malaya selagi kudratnya masih diperlukan.


AMRI tetap mahu memberi keutamaan kepada majikan sekarang, JDT. - Foto Goh Thean Howe
"Saya sendiri pun tak pasti berapa tahun lagi saya boleh bermain di peringkat tertinggi ini. Ia bergantung kepada tahap persembahan dan kudrat yang saya ada.

"Insya-Allah selagi boleh, tak tahu bila tetapi saya tetap akan beri yang terbaik untuk tempoh beberapa tahun akan datang ini.

"Keinginan untuk terus bermain memang masih ada lagi kerana saya begitu cintakan bola sepak sejak dari kecil lagi sehingga kini. Lagi pun saya cari makan dengan bola sepak," ujar suami kepada Nurul Izza Satim itu yang mempunyai dua cahaya mata, Adam Rayyan dan Zarith Sofea.

Amri bersama 19 pemain skuad Harimau Malaya yang lain bakal terbang ke Muscat, Oman, petang ini untuk aksi persahabatan antarabangsa sulung tahun ini bertemu pasukan ranking ke-96 dunia, Oman, Khamis ini.


AMRI Yahyah pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya. - Foto Goh Thean Howe

TEKAD membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk membantu Harimau Malaya. - Foto Goh Thean Howe
PROFIL

Nama: Amri Yahyah

Umur: 34 tahun

Tarikh lahir: 21 Januari 1981

Tempat lahir: Tanjung Karang, Selangor

Kelab semasa: JDT (sejak 2014)

Kelab sebelum ini: Selangor (2001-2013)

Posisi: Penyerang, tengah atau sayap

No jersi: 17

Pencapaian domestik:

Piala Malaysia - 2 kali (2002, 2005)

Piala FA - 3 kali (2001, 2005, 2009)

Liga Super - 3 kali (2009, 2010, 2014)

Liga Perdana - 1 kali (2005)

Piala Sumbangsih - 4 kali (2002, 2009, 2010, 2014)


MEMBANTU skuad negara muncul juara Piala Suzuki AFF pada 2010 dan naib juara 2014. - Foto Goh Thean Howe
Pencapaian antarabangsa:

Piala Suzuki AFF (juara 2010, naib juara 2014)

Antara jaringan peribadi terbaik:

2002 - Gol emas masa tambahan ketika Selangor menewaskan Sabah 1-0 pada final Piala Malaysia

2009 - Dua gol ketika skuad Harimau Malaya tewas 3-2 kepada Manchester United di Stadium Nasional, Bukit Jalil

2013 - Satu gol ketika skuad Harimau Malaya tewas 3-1 kepada Barcelona di Stadium Shah Alam
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 24 March 2015 | 12:03am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan