MyMetroNode
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemain berpengalaman
Amri Yahyah sudah mendakap trofi Piala FA sebanyak tiga kali dalam kariernya
namun ia masih belum lengkap jika Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tersungkur di
pentas final menentang PKNS di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Tiga kejuaraan Piala FA bersama
Selangor pada 2001, 2005 dan 2009 meletakkan penyerang berusia 35 tahun itu
antara pemain legenda yang masih lagi beraksi.
Tiga penampilannya di kemuncak
pertandingan kalah mati itu tidak pernah mengecewakan dan mungkin kali ini
Harimau Selatan boleh menggunakan faktor ‘Amri’ untuk merangkul gelaran buat
kali pertama selepas tumpas di tangan Kelantan 0-1 pada final 2013.
“Final ini istimewa bagi saya
selepas beberapa musim bersama Johor DT, kami berjaya melangkah ke final Piala FA
buat kali kedua. Jadi kali ini kami kena bagi yang terbaik untuk membawa Piala
FA ke Johor.
“Jika berjaya, trofi ini akan
melengkapkan kejayaan Johor DT selepas diambil alih oleh TMJ (Tunku Mahkota
Johor) Tunku Ismail Sultan Ibrahim jadi saya harap Sabtu ini adalah penentuan
koleksi piala buat TMJ, Johor DT dan seluruh rakyat Johor,” katanya ketika
ditemui selepas sesi latihan di Padang Seri Gelam semalam.
Bagaimanapun, dengan kehadiran
dua penyerang import Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz menyukarkan Amri
untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama yang turut diintai seorang lagi
pemain kebangsaan Safee Sali.
Namun faktor pengalaman pemain
berasal dari Tanjong Karang, Selangor itu mungkin perlu diambil kira oleh
pengendali Johor DT Mario Gomez.
Amri mengakui skuad Liga Super
Johor DT memiliki kelebihan untuk mengatasi kelab Liga Perdana PKNS namun dia
tetap mengambil pendekatan berhati-hati.
“Kelebihan memang ada tapi kami
perlu lebih berhati-hati kerana pasukan ‘underdog’ ini selalu buat kejutan
dalam perlawanan penting, saya harap pemain berhati-hati dan tidak leka,”
katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Selasa, 10 Mei 2016 @ 8:12 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan