Oleh Nazri Abu Bakar
bhsukan@bh.com.my
Amri Yahya. - Foto Muhammad
Zuhairi Zuber
MELAKA: Melaka United (MU)
mengambil keputusan luar jangkaan apabila bakal melepaskan penyerang kebangsaan
Amri Yahyah kembali ke pasukan asalnya Selangor, menjelang jendela perpindahan
pemain musim ini.
Pengurus pasukan MU, Datuk Wira
Mohd Yusoff Mahadi berkata, walaupun berat membuat keputusan itu, dia bersedia
memberi laluan kepada Amri untuk kembali berbakti bersama The Red Giants.
Menurutnya, penghijrahan pemain
yang mesra digelar Wak Am itu adalah perencanaan tersendiri skuad Hang Tuah
bagi mengharungi baki saingan Liga Super, walaupun mengakui bakal kehilangan
penyerang termahal skuad terbabit.
Katanya, perbincangan lanjut
sedang diatur bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri
Subahan Kamal berkaitan perpindahan berkenaan.
"Peratusan Amri kembali ke
Selangor amat tinggi, walaupun dia banyak menyumbang kepada kekuatan MU
termasuk membantu kemenangan ke atas Sarawak dan Kelantan di pentas liga dan mengecewakan
PKNS dalam saingan kedua Piala FA.
"Apapun kami juga memiliki
strategi selepas ketiadaannya terutama dalam memastikan penggantinya nanti
lebih berwibawa, jika tidak pasti kami tidak melepaskan Amri," katanya di
Melaka, hari ini.
Sebelum ini, MU membuktikan
keazaman mereka mengharungi musim baharu Liga Super 2017 dengan mendapatkan
khidmat kapten skuad kebangsaan itu yang diikat selama semusim.
Amri yang tamat kontrak bersama
Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini, pernah mengakui tawaran diberikan Melaka
United sukar ditolak meskipun pilihan utamanya selepas JDT adalah negeri
kelahirannya, Selangor.
Penyerang itu tetap memberikan
yang terbaik setiap kali diturunkan, walaupun Melaka United kini berada di zon
penyingkiran ke Liga Perdana 2018.
Amri pernah menjulang Piala AFC,
tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama JDT, serta dua
trofi Piala Malaysia, dua kejuaraan Liga Super serta tiga Piala FA sepanjang 12
tahun bersama Selangor.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa,
4 April 2017 | 8:40pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan