Ahad, 7 April 2019

Aura Wak Am, penyudah Eugene 'hidupkan' Red Giants


MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
 
JURULATIH Selangor, B Sathianathan gembira dengan prestasi pemain veteran Mohd Amri Yahyah yang bertindak cemerlang membantu skuad itu mencatatkan kemenangan 4-3 mengatasi Melaka United (MU).

Baginya, pengalaman pemain itu menjadi nadi penting menyentap semangat tuan rumah menerusi dua jaringan awal sekali gus membuka laluan kemenangan The Red Giants di Stadium Hang Jebat Paya Rumput, Krubong, malam tadi.

Menurutnya, Amri berfungsi baik untuk memikul peranan sebagai penyerang pada babak pertama malah dua jaringan dihasilkannya memiliki kualiti menarik sebagai pemain berpengalaman.

Katanya, bekas pemain kebangsaan itu juga memainkan peranan penting selepas diminta beraksi di sayap kanan pada babak kedua yang turut mengelirukan pertahanan lawan.

"Apapun kemenangan berkenaan sebenarnya berdasarkan perjuangan sebagai sebuah pasukan dan bukan faktor individu semata-mata.

"Namun saya juga gembira dengan persembahan Sean Eugene Selvaraj yang berjaya menanduk masuk dua gol untuk menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 2-3 kepada lawan seterusnya membantu kemenangan tipis 4-3 ke atas tuan rumah.

"Eugene super-sub yang baik berikutan kesungguhannya yang tinggi termasuk membantu ketika bertahan selain pantas melakukan asakan sekali gus menerbitkan pilihan buat saya dalam perubahan taktikal," katanya.

Bagaimanapun, pemain muda itu kurang diberi tempat kerana sering dibayangi barisan import.

Bagaimanapun, komitmen tinggi dipamer untuk mencabar tempat dalam kesebelasan utama wajar diberi pujian.

Malah Eugene turut menjaringkan beberapa gol dalam aksi pra-musim selain memiliki kualiti tersendiri untuk lebih menyerlah.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 2:49 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan