Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal mencatat kemenangan sulung dalam siri Jelajah Oceania 2016 selepas tewas 2-0 Papua New Guinea pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Sir John Guise, Port Moresby, petang tadi.
Tuan rumah yang dibimbing jurulatih berusia 69 tahun dari Denmark, Flemming Serritslev berjaya memperoleh dua gol berkenaan menerusi pemain sayap kiri, Tommy Semmy pada minit ke-35 dan 42.
Kim Swee kemudian melakukan lima pertukaran serentak sebaik permainan bersambung pada separuh masa kedua dengan memasukkan S Kunanlan, Fazly Mazlan, Amirulhadi Zainal, Amirul Hisyam Awang Kechik dan S Chanthuru bagi memburu jaringan.
Sebaliknya Harimau Malaysia terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-66 selepas pemain pertahanan, Shahrom Abdul Kalam mengalami kecederaan lutut, empat minit selepas Kim Swee melakukan pertukaran keenam dan terakhir memasukkan Christie Jayaseelan menggantikan Mahalli Jasuli yang turut tercedera.
Meskipun beraksi kurang seorang pemain, skuad Harimau Malaysia tetap berupaya mengimbangi permainan termasuk dua percubaan yang menggegar palang dan tiang gol Papua New Guinea menerusi Amirulhadi pada minit ke-72 dan Christie pada minit ke-82.
Namun Harimau Malaysia gagal memecah kebuntuan sehingga wisel penamat untuk merelakan kekalahan 2-0 di hadapan 1,519 penonton.
Papua New Guinea yang berkedudukan ranking ke-193 dunia baru saja muncul naib juara Piala Negara-Negara Oceania 2016 minggu lalu selepas tewas penentuan sepakan penalti kepada New Zealand.
Sementara Harimau Malaysia yang kini di ranking ke-173 dunia mencatat dua kali kemenangan 3-0 ke atas Timor-Leste pada aksi play-off pada 2 dan 6 Jun lalu untuk layak ke peringkat kumpulan saingan Kelayakan Piala Asia 2019 dengan agregat 6-0.
Skuad Harimau Malaysia seterusnya bakal melengkapkan siri Jelajah Oceania 2016 dengan aksi bertemu New Caledonia (ranking 183) di Noumea pada 22 Jun dan Fiji (ranking 186) di Nadi pada 26 Jun.
PAPUA NEW GUINEA: 23-Leslie Kalai, 2-Daniel Joe (15-Philip Steven 90+4'), 5-Felix Komolong, 4-Alwin Komolong (13-Roland Bala 23'), 19-Koriak Upaiga, 14-Emmanuel Simon, 12-David Muta (C) (17-Jacob Sabua 46'), 8-Michael Foster (11-Wira Wama 86'), 9-Nigel Dabinyaba, 18-Tommy Semmy (10-Obert Bika 73), 7-Raymond Gunemba (6-Patrick Aisa 46').
MALAYSIA: 1-Farhan Abu Bakar; 20-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (16-S Kunanlan 46'), 5-Shahrom Abdul Kalam, 4-Fadhli Shas, 24-Khair Jefri Jones (6-Fazly Mazlan 46'); 3-Brendan Gan (21-Amirulhadi Zainal 46'), 9-Abdul Latiff Suhaimi (13-Amirul Hisyam Awang Kechik 46'); 14-Ahmad Fakri Saarani (18-S Chanthuru 46'), 11-Baddrol Bakhtiar, 2-Mahalli Jasuli (19-Christie Jayaseelan 62'); 17-Amri Yahyah (C).
Pengadil: George Time (Kepulauan Solomon)
KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE
"Seperti yang saya katakan, Papua New Guinea menunjukkan peningkatan dan mereka bermain agak baik dengan tidak memberi ruang untuk kita bergerak ke hadapan dengan melakukan 'pressing' dari awal sehingga akhir permainan.
"Agak mengecewakan juga apabila beberapa pemain yang diturunkan tidak menunjukkan karakter sebenar mereka dan membantu antara satu sama lain. Jadi ini menjadi salah satu perkara yang perlu saya teliti.
"Biarpun beraksi 10 pemain, kita berjaya mencipta dua peluang iaitu terkena palang dan tiang. Ini membuktikan pada separuh masa kedua, jika mentaliti dan sikap pemain ingin melakukan sesuatu, sudah tentu kita mampu bermain dengan lebih baik.
"Saya harap dengan keputusan yang mengecewakan ini, ia akan menjadi satu pengajaran di mana kita harus bangkit dan harus konsisten.
"Di sini perkara yang terlampau mudah untuk kita lihat apabila kita berjaya menewaskan Timor-Leste sebanyak dua kali dan selepas itu, beberapa pemain antaranya telah bersikap ambil mudah. Ini juga faktor yang perlu saya baik selain daripada permainan yang lebih baik."
SUMBER- http://www.fam.org.my/news/persahabatan-papua-new-guinea-2-0-malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan