MyMetroNode
Singapura: Penantian penyerang
Harimau Malaya Amri Yahyah untuk beraksi menentang Singapura akhirnya tercapai
apabila bakal menjadi taruhan jurulatih Dollah Saleh untuk merobek gawang
pasukan musuh tradisi itu dalam perlawanan getir Kumpulan B Piala AFF hari ini.
Sejak mewakili negara pada 2003,
pemain berusia 33 tahun itu tidak pernah diturunkan dalam perlawanan menentang
Singapura tidak kira dalam sebarang kejohanan ataupun aksi persahabatan.
Amri yang dijangka mengambil
posisi sayap kanan untuk menggantikan S Kunanlan yang cedera, mengakui tidak
sabar untuk beraksi dalam perlawanan hidup mati Malaysia di Stadium Nasional,
Kallang hari ini.
“Saya tidak pernah beraksi
bersama pasukan kebangsaan menentang Singapura dan sudah tentu saya tidak sabar
untuk beraksi esok (hari ini).
“Saya bersama pasukan ketika
Malaysia juara 2010 tapi dalam kejohanan itu kita tidak bertemu Singapura,”
katanya yang sudah menjaringkan lapan gol daripada 34 penampilan antarabangsa.
Amri pemain Johor Darul Ta’zim
mencuri tumpuan pada perlawanan kedua ketika tewas 2-3 kepada Thailand apabila
menyumbat gol pembukaan selain hampir menambah jaringan menerusi percubaan dari
tengah padang.
Walaupun diberikan tugas sebagai
pemain sayap selepas Dollah membuat keputusan menggandingkan semula Safee Sali
dan Norshahrul Idlan Talaha, pemain kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu
dilihat tetap berbahaya.
Namun dia tidak tertekan meskipun
sedar Malaysia tidak boleh tewas atau seri dalam pertemuan dengan juara
bertahan itu jika mahu mengiringi Thailand ke separuh akhir.
“Tiada tekanan, sama seperti
dengan rakan sepasukan lain. Saya akan cuba untuk membantu pasukan meraih
kemenangan. Saya tidak kisah jika saya akan dikawal ketat pemain lawan, itu
perkara biasa.
“Esok (hari ini) bukan saya
seorang yang bermain kerana pemain lain juga akan memainkan peranan,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 29 November 2014 @ 5:08 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan